Friday 11 September 2009

Anekdota Ramadan

1.       Teringat semasa aku masih lagi kecil, ketika itu masih lagi berada di sekolah rendah. Atuk yang serumah dengan ku sering mengajak cucu-cucunya yang ramai bertarawih di Surau Tinggi. Di surau ini, majoriti jemaahnya adalah remaja belasan tahun ke bawah manakala orang-orang dewasa dan tua boleh dibilang dengan jari. Kebanyakan kumpulan ini mereka berjemaah di mesjid. Jadi sudah pastilah kami yang tidak matang ni mempunyai pelbagai kerenah dan nakal. Sembahyang terawih 20 rakaat terasakan begitu cepat berlalu. Suasana surau yang mempunyai 3 tingkat itu sememangnya menyeramkan kami lebih-lebih lagi ketika itu tiada lampu elektrik. Cahaya hanya dibekalkan dengan pelita atau lampu gas. Kadang kala lampu gas meragam, jadi gelap gelitalah dalam surau tersebut.

2.       Kedudukan surau yang berada di atas bukit dan dikelilingi semak samun sememangnya menakutkan. Tambahan pula jalan ke surau hanya sebesar dua orang berjalan kaki sahaja, atau ia lebih dikenali sebagai denai. Jalan di kampung pula hanyalah jalan tanah merah sebesar lebih kurang 5 kaki lebar. Dengan ketiadaan bekalan elektrik dan air paip, semua penduduk kampung menggunakan anak sungai, iaitu Sungai Balun, sebagai sumber air utama untuk mandi, membasuh, air masak, minum dan 'tandas'. Malah sungai ini pun merupakan punca untuk mendapat ikan untuk dimakan. Inilah keadaan kampungku ketika itu.

3.      Sembahyang terawih sememangnya menyeronokkan lebih-lebih lagi apabila berhenti antara dua rakaat. Bacaan bilal akan disambut oleh makmum dengan lantang dan sekuat yang boleh. Lebih-lebih lagi kami kanak-kanak yang tidak mengetahui pun apa yang diucapkan. Main ikut sahaja. Kadang kala semasa solat terawih ada antara kami yang bermain di belakang atau mengusik kawan-kawan yang sedang sembahyang. Ini menimbulkan gelak ketawa antara kami yang kadang kala menjadi kemarahan pada orang-orang tua yang sedang bersembahyang.

4.       Selesai sahaja sembahyang terawih dan witir, kamilah paling sibuk menghidangkan makanan untuk para jemaah. Selepas jemaah menjamu selera kami pula yang menghimpunkannya semula dan kadang-kadang menolong Tok Siak membasuh pinggan mangkuk.

5.       Selepas selesai semua kami pun balik ke rumah masing-masing mengikut jalan masing-masing. Sememangnya menyeramkan dalam keadaan yang gelap gelita yang dikelilingi semak samun. Namun ia sudah menjadi kebiasaan bagi orang kampung. Suatu malam kami balik diiringi dengan bunyi burung hantu. Sepupuku yang nakal mengajuk bunyi burung itu. Sahut menyahut bunyi burung itu hinggalah kami sampai ke rumah.

6.       Petua orang tua-tua kita tidak boleh mengajuk bunyi burung itu di waktu malam kerana mungkin ada makhluk lain yang mengiringinya. Aku telah menceritakan kesah itu pada ibuku setelah sampai ke rumah. Ibuku yang kuat kepercayaannya kepada petua orang tua-tua itu agak marah dan berpesan semoga tidak mengulanginya lagi. Subuh itu ketika ibuku memasak di dapur, ia telah merasakan sesuatu ada 'makhluk' atas pokok manggis yang hampir dengan dapur ibuku masak. Makhluk itu cuba mengusik ibuku memasak namun ibuku sempat memanggil ayah saudaraku dengan melaung sahaja. Sememangnya ada makhluk atas pokok manggis itu dan kemudian lari dengan cahaya merah apabila pakcik ku turun dari rumah untuk melihat perkara tersebut.

7.       Malam 27 Ramadan sememangnya dinanti-nantikan ramai dalam kalangan kami kerana malam ini dan seterusnya malam hari raya kami agak bebas untuk bermain waktu malam di luar rumah. Kebiasaannya pada 25 dan 26 Ramadan kami sibuk mencari anak-anak kayu di kebun/hutan untuk dijadikan tiang lampu panjut. Pelita akan dipasang pada tiang-tiang panjut ini yang menjadikan keliling rumah terang benderang. Ada juga kalangan kami membuat lampu panjut dari buluh. Keadaan kampung pada malam 27 Ramadan hingga malam raya amat menarik sekali, dari keadaan gelap gelita ia telah menjadi seperti bintang-bintang di langit dari hilir kampung hinggalah hulu kampung semua rumah mempunyai lampu panjut. Cukup indah!

8.       Suatu permainan yang popular kalangan remaja kampung ketika itu ialah permainan 'kiok-kiok' yang hanya berlaku pada malam 27 Ramadan hingga malam Raya sahaja. Permainan ala 'police-sentry' ini amat menyeronokkan kerana ia bergantung kepada keberanian dan kecekapan penyamaran pemain dalam keadaan gelap itu. Kumpulan 'pencari' akan mencari kumpulan satu lagi yang menyorok sambil membunyikan 'kiok-kiok' sebagai klu kepada kumpulan pencari. Sudah pastilah kumpulan yang menyorok bersembunyi di tempat-tempat yang strategik yang sukar dicari. Apa yang menjadi kemusykilan hingga hari ini ialah kesemua pemain tidak memakai kasut/selipar, hanya berkaki ayam sahaja, namun tidak seorangpun yang tercedera terpijak kaca, tunggul kayu atau apa-apa sahaja yang boleh mencederakan.

9.        Pada 20 Ramadan ke atas adalah hari-hari sibuk bagi kedua ibubapa kami di kampung kerana pada masa inilah mereka sibuk membuat kuih muih, persiapan baju anak-anak, rumah disamping kerja harian mencari rezeki. Ketika ini kebiasaanya di sebelah petang aku membantu ibuku mencari kayu api di kebun bagi tujuan memasak kuih muih. Kuih yang paling banyak menggunakan kayu api ialah dodol dan lemang. Masa untuk memasak dodol boleh sampai 8 hingga 10 jam dan ini memerlukan kayu api yang banyak. Begitu juga untuk masak lemang memerlukan kayu api yang banyak.

10.     Semasa aku bersekolah rendah, kerap kali Ramadan jatuh pada bulan Disember iaitu cuti sekolah. Bila mula sahaja Ramadan, aku, Tahir dan Azmi selalu ke rumah Chik Din yang terletak di 'tanjung' di belakang rumah Anyah (Hjh Hasnah). Rumah ini kosong jadi kami bertiga selalu ke sini di siang hari dengan membawa tikar dan bantal untuk berehat, tidur, solat dan membaca AlQuran. Apabila petang tiba kami akan balik ke rumah masing-masing untuk membantu kerja-kerja rumah.


No comments:

Post a Comment