Saturday 14 June 2014

Bertukar ke IAB Kampus Induk Bandar Enstek

Akhirnya setelah sekian lama bertahan untuk tidak bertukar dari IABU, aku akan bertukar juga mulai 16 Mei 2014. Namun aku mengambil keputusan untuk menangguhnya lagi sehingga 16 Jun 2014. Walaupun perancangan diri untuk bersara sahaja di IABU, namun perancangan Ilahi mengatasi segalanya. Aku redha dengan pertukaran ini. Aku mula bertugas  di IABU bermula dari 2 Mei 1996 dan mengambil cuti belajar selama 3 tahun 6 bulan bagi menyambung pelajaranku di peringkat Ph.D yang bermula pada 13 Disember 1999. Pada 1 Jun 2003 aku kembali semula ke IABU bagi meneruskan kerjayaku di sini.

Aku memilih IAB sebagai tempat terakhir dalam kerjayaku kerana aku dapat merasakan keserasian antara fungsi IAB dengan jiwaku. Bermula dengan gred DG3/DG41, aku mula menapak dari satu gred ke gred yang tinggi dan hinggalah pada 16 Nov 2013 aku dinaikkan ke Gred DG54 sebagai pensyarah kanan. Bermula dengan jawatan pensyarah kanan dan dilantik menjadi Ketua Jabatan dan kemudian dilantik semula sebagai Pensyarah Kanan. Akhirnya aku terpaksa menerima arahan pertukaran ke IAB Kampus Induk, Bandar Enstek, Negeri Sembilan sebagai Ketua Pusat, Pusat Penyelidikan, Penilaian dan TMK.

Dalam usia yang menjangkau persaraan wajib, aku merasakan pertukaran ini amat mencabar emosiku yang sudah sebati dengan IABU. Namun apakan daya, selaku penjawat awam aku tetap akur dengan arahan pertukaran ini. Aku pasrah menjadi 'bujang' semula kerana aku hanya pindah bersendirian sahaja.

IABU yang bakal aku tinggalkan telah mempengaruhi pemikiranku mengenai perjuangan. Aku telah bertugas di bawah 8 orang pengarah dan masing-masing mempunyai gaya kepimpinan tersendiri. Selaku pusat latihan pengurusan dan kepimpinan, mahu tidak mahu, aku tetap memerhatikan gelagat kepimpinan IABU dan cuba memahaminya dengan pelbagai teori kepimpinan. Sebagai pemerhati yang pincang-kendiri, aku dapat merasakan terdapat pasang surutnya kepimpinan IABU yang memberi kesan langsung terhadap keberkesanan program-program yang dianjurkan IABU.


No comments:

Post a Comment